skip to main |
skip to sidebar
EMPAT tahun lalu, Malissa Jones, merupakan remaja tergemuk di Britain dengan berat badan 215 kilogram (kg).
Dia sangat menggemari coklat, kerepek dan makanan bergoreng malah mampu menghabiskan 10 bar coklat Mars dalam satu-satu masa.
Selain itu, pola pemakanannya juga bukan di tahap normal apabila dia mengambil 15,000 kalori sehari iaitu 7.5 kali ganda daripada kadar yang sepatutnya diambil oleh gadis seusianya.
Keinginan untuk sentiasa makan dan mengunyah memuncak apabila waktu malam. Dia mengaku pernah berkejar ke peti ais dan makan daging burger mentah dengan gelojoh.
Tabiat pemakanannya yang melampau itu akhirnya memberi masalah lain kepada Malissa.
Tubuhnya yang semakin berat menyukarkan pergerakannya sehingga dia memerlukan alat bantuan oksigen ketika tidur. Malissa turut menghidap lelah dan mengalami masalah jantung yang sering dihidapi orang berusia.
Lantaran itu, ketika umurnya 17 tahun, pada tahun 2008, Malissa mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan pintasan gastrik walaupun kaedah itu boleh membawa risiko maut kerana dilakukan pada remaja sepertinya.
Dia mengakui doktor memberi amaran tentang risiko yang terpaksa diambil dan dia boleh meninggal dunia. Namun, Malissa berpendapat dia tiada pilihan kerana lama-kelamaan dia akhirnya akan mati.
Menjadi orang termuda yang menjalani pintasan gastrik di dunia, pembedahan ke atas anak kelahiran Selby, North Yorkshire itu bukan sahaja berjaya malah lebih separuh berat badannya hilang dalam masa setahun.
“Dalam tempoh itu saya seperti menemui dunia baharu. Saya pergi ke kelab malam setiap hujung minggu dan memiliki ramai teman lelaki kerana rasa lebih menarik dan yakin terhadap diri sendiri,” katanya.
Menurut laporan Daily Mail Online, Malissa sempat berpacaran dengan teman lelakinya, Chris Robottom, 22. Mimpi ngeri Malissa bermula ketika dia hamil enam bulan.
Dia berdepan dengan masalah kegagalan fungsi hati sehingga memaksa bayinya dilahirkan dengan kaedah pembedahan. Bagaimanapun, bayi itu meninggal dunia sejam selepas dia dilahirkan.
Kehamilan itu turut menyebabkan berat badan Malissa menyusut secara mendadak sehingga dia hilang minat terhadap makanan dan disahkan anoreksia.
“Badan saya seperti menerima kejutan apabila menjadi terlalu kurus.
“Bukan tidak mahu makan, tetapi menelan secebis makanan hanya membuat saya bertambah sakit,” katanya yang hanya mengambil tiga batang lobak merah, sebiji ubi dan kentang panggang dengan nilai 300 kalori setiap hari.
Menurut Perunding Psikologi Klinikal, Dr. Funke Baffour dari Waltham Cross, Malissa mungkin menerima gangguan psikologi apabila dia kini terpaksa berdepan dengan kesan pembedahan yang dijalaninya dahulu.
“Ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila dia cuba menyekat sebarang perhubungan dengan makanan.
“Kemungkinan Malissa takut untuk menjadi gemuk kembali, jadi dia mencuba untuk menjauhi dirinya dari menjamah makanan,” katanya.
Memiliki ketinggian 1.7 meter, Malissa kini hanya memiliki berat 50kg.
Terkini, doktor memberinya amaran untuk meningkatkan selera makan atau dia terpaksa berdepan dengan risiko maut dalam tempoh enam bulan.